My Quill and I

A Way I Xpress!

Wednesday, January 19, 2011

Fantasi KAAfamily - Bab 3 : Raksasa di dalam Terowong

Fantasi KAAfamily
Raksasa di dalam Terowong

    "Wanie, perpustakaan tu di tingkat mana?" soal Shafiq.
    "Hm, sepatutnya di sini ada butang yang terpahat padanya huruf 'E'," Wanie melalukan tangannya pada butang-butang yang lain. Aku rasa Wanie sangka ia dicat dengan nombor lain. Tetapi tiada. Wanie hampa.
    "Butang yang dipahat huruf 'E'? Butang tu di situlah," Salina menuding jarinya pada satu bahagian yang jelas ternyata tiada apa-apa.
    "Salina, aku rasa kau pula yang nak demam," Safuraa sudah menyentuh dahi Salina dengan tapak tangannya. Cuba mengenal pasti suhu badan Salina normal atau sebaliknya. Salina benci apabila diejek. Dia menepis tangan Safuraa lalu berkata, "Sampai hati kau kata aku menipu. Butang tu memang di situlah!" Aku serta semua kawan-kawan yang lain memandang Salina dengan wajah yang bingung. "Ah, ke tepilah semua," semua menaakul dengan kata-kata Salina. Adakalanya, Salina ini boleh menjadi seorang diva.
    Salina menyentuh bahagian dinding aluminium lif yang terletak di bawah deretan butang. Tiba-tiba bahagian aluminium itu seolah-olah ditolak ke dalam lalu gelongsor ke bawah. Di dalam rongga yang telah di tinggalkan oleh bahagian tadi adalah satu butang yang terukir padanya huruf 'E'.
    "Ni dia," Salina menekan butang itu. "Kamu semua masih tidak dapat terima hakikatnya? Kami semua dikurniakan kuasa. Nik dapat membaca minda orang lain. Ain dapat pancarkan cahaya. Aku pula boleh lihat menembusi logam itu tadi. Jadi tak peliklah jika seseorang itu dapat lakukan sesuatu di luar jangkaan manusia biasa," jelas Salina. Benar katanya tetapi aku masih tidak tahu kuasa aku. Apa pula maksudnya dengan 'jangkaan manusia biasa'? Kami sudah jadi luar biasakah? Tetapi aku rasa aku masih seorang manusia biasa.
    Sepanjang masa dalam perjalanan ke dalam bumi, semua hanya terdiam. Hanya kedengaran gear-gear lif sedang beraksi. Aku hanya termenung memandang lantai lif tersebut. Jauhnya perjalanan ke perpustakaan ni.

    Akhirnya, kami tiba di tingkat 'E'. Pintu automatik itu terbuka dengan luas. Seorang demi seorang keluar dengan berhati-hati. Berdoa agar pintu tersebut tidak tertutup ketika mereka baru sahaja hendak keluar. Wanie berada di hadapan kelompok kami. Dia membawa kami ke dalam sebuah terowong. Makin lama, makin dalam kami masuk. Setiap langkah kami ambil ke dalam terowong itu, penglihatan kami semakin terjejas dengan kegelapan. Apabila mata kami tidak dapat mengesan cahaya lagi, aku menyuruh Ain memancarkan cahaya. Dia segera membuka 'lampu suluh'nya. Apabila cahaya telah mengembalikan deria penglihatan kami, kami dikejutkan dengan dua terowong. Satu menghala ke kiri manakala satu lagi ke kanan. Yang mana perlu kita ambil?
    Wanie seperti telah membaca mindaku. Tetapi tidak mungkin kerana Nik telah menyiku Wanie. Jadi faham-faham sajalah apa yang Nik boleh buat sekarang. Wanie mengambil beberapa langkah ke arah terowong di sebelah kiri. Dia melutut lalu menyentuh tanah dan matanya berdenyar warna gandaria. Kemudian, dia bergerak ke terowong sebelah kanan pula. Dia mengulangi apa yang telah dia lakukan tadi. Selepas itu, dia memandang ke arahku.
    "Dua-dua terowong ini boleh membawa kita ke Perpustakaan Edium. Walau bagaimanapun, -" kata-kata Wanie dipotong oleh Zuyin. "Aduhai, ada 'tapi' lagi?" katanya. "Kau senyap boleh tak, Zuyin?" Syasya membentak sambil membulatkan matanya kepada Zuyin. Teringat pula aku dengan Cikgu Fariza. Aku membuat gerak isyarat dengan tanganku agar Wanie dapat memyambung kata-katanya tadi.
    "Seperti yang kita katakan tadi, terowong-terowong ni boleh digunakan. Cuma ada halangan sedikit. Yang kanan ni jauh perjalanan dia. Yang kiri pula," Wanie berhenti sebentar kemudian memandang terowong di sebelah kiri. Mukanya tiba-tiba menjadi pucat. Umpama dia baru saja melihat hantu. Dia menelan air liurnya lalu menyambung kata-katanya, "Ada sesuatu yang menanti makan malamnya,". Bulu roma di belakang leherku tegak. Terowong itu dengan mendadak menjadi sunyi sepi.
    Tanpa di sangka, kami dikejutkan dengan bunyi sesuatu yang berat dihempas pada dinding terowong itu. Kami berpusing ke arah bunyi itu. Sekali lagi, gegendang telinga kami bergetar dengan bunyi benda dihempas. Kali ini lebih kuat. Kami hanya memandang merata-rata tempat tetapi masih tidak dapat tahu di mana bunyi itu terhasil. Dengan daya yang kuat, hempasan terakhir itu telah berjaya merobohkan dinding terowong itu. Debu-debu yang ia hasilkan berterbangan apabila serpihan dinding itu dihancurkan.
    Akibat gelombang gegaran itu, ia telah menyebabkan Nurul, Syahir serta Ummi terjatuh. Kami segera menolong mereka berdiri. Semua semakin ke belakang. Takut hendak membuat apa-apa tindakan. Mengapa kami tidak lari sahaja? Kerana kami seperti dipaku lalu menjadi kaku di situ. Itulah mengapa kami tidak berlari. Kami hanya memandang jasad yang muncul daripada debu-debu itu. Bayang-bayang menunjukkan bahawa ia mempunyai badan yang besar.
    Alif yang begitu takut secara tidak sengaja telah melanggar Shafiq yang jatuh terduduk di belakangku. Beberapa serpihan batu telah berlaga lalu bergema pada dinding terowong itu. Benda tadi telah mengesan bunyi itu dengan pantas sekali. Ia menoleh kepalanya ke arah kami. Pada mukanya terdapat dua titik cahaya berwarna merah. Aku rasa itu adalah matanya. Aku menyangka ia sejenis haiwan yang telah jatuh ke dalam satu tangki penuh dengan toksik. Ia telah diubah suai menjadi satu raksasa yang menakutkan. Kaki-kaki hadapan raksasa itu dijatuhkan. Ia dalam posisi merangkak. Tiba-tiba aku sedar seperti ia tersenyum padaku. Aku sudah mula panik. Adakah benda itu mahu menyerang kami?
    Raksasa itu mula mengambil beberapa langkah ke arah kami. Kemudian, ia mempercepatkan langkahnya yang menyebabkan ia mula memecut pula. Semua menjerit kerana takut akan raksasa itu. "Semua masuk terowong kanan!" aku mengarah. Kami berpusu-pusu memasuki terowong itu. Kami berlari sekuat hati kami. Bunyi derapan tapak kaki raksasa itu jelas terdengar di belakang kami. Aku memandang wajah raksasa yang tak berapa jelas itu. Aku tak sedar yang Wanie berhenti secara tiba-tiba. Oleh itu, aku terlanggar Shafiq dan Husna sehingga aku terjatuh.
    "Kenapa berhenti ni? Tak nampak ke benda tu sedang kejar kita," aku berdiri lalu membersihkan habuk daripada seluarku. Aku memandang ke hadapan dan mendapati ada tiga terowong. Wanie menyentuh tanah dan menjerit, "Semua masuk terowong kanan,". Kami berlari kemudian membelok ke kanan. Kami berhenti. Menunggu raksasa tadi meninggalkan kami. Laila mengambil satu langkah ke belakang dengan harapan langkah itu mungkin dapat menyelamatkannya.
    Selepas 10 minit, bunyi derapan tapak kaki raksasa itu semakin lenyap dari pendengaran kami. Semua melepaskan keluhan lega. Laila tersenyum puas setelah makhluk yang mengerikan itu lesap daripada pandangan serta pendengaran kami. Oleh kerana keadaan agak sesak dan berhimpit, Laila melangkah setapak lagi ke belakang.
    Tiba-tiba, bergema jeritan nyaring Laila pada dinding terowong. Serentak kami berpaling ke arah punca jeritan itu. Tanpa membuang masa, kami terus berlari mendapatkan Laila yang kelihatan sedang berpaut pada sisi sebuah lubang. Laila sudah tidak dapat menahan berat yang tertanggung pada hujung jarinya.
    Ummi cuba mencapai tangan Laila tetapi dia terlambat. Laila tergelongsor ke dalam lubang itu. Suara jeritan Laila jelas terdengar tetapi ia lenyap dalam masa kurang seminit. Mata Ummi sudah mula berkaca. Dia tidak sempat menyentuh apatah lagi memegang tangan Laila bagi menariknya. Tanpa amaran daripada sesiapa, Syiera menampar Ummi. "Kenapa kau tak tarik Laila?" Syiera memarahi Ummi. Ummi hanya memandang lantai. Dia menggosok pipinya yang masih panas dengan tamparan Syiera. "Jawablah!" Syiera menyambar baju Ummi lalu menariknya sehingga muka mereka hampir bersentuhan. "Aku tak sempat nak sentuh dia pun. Apalagi tarik dia," Ummi bernafas dengan kuat. Dia memandang Syiera dengan dahi yang berkerut. Bengang dengan keadaan Syiera yang berubah secara drastik.
    Syiera menghempas Ummi sehingga dia terhantuk pada dinding terowong. Pukulan hebat itu hanya membawa dua kesan sahaja. Tahap kesabarannya menurun manakala tahap kemarahannya pula meningkat. Aini membantu Ummi berdiri tetapi dia menolak tangan Aini. Dia tidak mahu bantuan daripada sesiapa.
    "Syiera, Ummi, janganlah bergaduh!" suara Laila bergema dari lubang tadi. Kami semua terkejut dengan apa yang kami baru sahaja dengar. Ummi melihat-lihat ke dalam lubang itu.
      "Laila, kau OK tak?" Ummi menyoal Laila.
    "Aku OK. Cuma bawah ni gelap sangat. Aku takut," kata Laila.
    "Kejap. Aku nak turun," Ummi sudah terduduk pada tubir lubang tersebut. Bersedia untuk menemui rakannya di bawah sana.
    "Ummi, jangan! Kau tak tahu apa yang ada di bawah sana!" aku menasihati Ummi tetapi aku tak sempat. Dia sudah menggelongsorkan dirinya ke dalam kegelapan. Perjalanan ke penghujung lubang itu memakan masa yang lama. Lebih kurang tiga minit kemudian baru kami mendengar suara Ummi. "Kalian turunlah sekarang," kata Ummi. Aku menaakul dengan kata-kata Ummi. Aku terduduk di tepi lubang itu. Bersedia hendak gelongsor ke bawah.
    "Kamu semua tunggu dahulu. Apabila aku dah beri arahan boleh turun, seorang demi seorang gelongsor ke bawah. Pastikan jarak perjalanan semua orang seminit selepas orang sebelumnya. Faham?" pesanan terakhir aku sebelum meninggalkan mereka bagi menyertai Laila dan Ummi. Hampir kesemuanya mengangguk. Aku memandang kegelapan yang bakal aku tempuhi. Aku menutup mata sambil menarik nafas. Aku menghembus karbon dioksida lalu berganjak sedikit ke dalam lubang itu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home