Fantasi KAAfamily
Pintu Lawang Perpustakaan Edium
Aku memeluk tubuh dan menutup mataku separuh perjalanan dalam lubang itu. Setelah beberapa minit kemudian, bahagian pakaianku yang bersentuhan dengan sisi lubang tersebut terasa basah. Aku terdengar deburan daripada arah kakiku. Aku membuka mataku bagi melihat keadaan sekelilingku. Mukaku terpercik dengan air yang aku tidak dapat kenali dari mana puncanya.
Hujung gelongsor sudah mula muncul pada pandanganku. Aku merapatkan kakiku. Oleh kerana tarikan graviti yang kuat, aku meluncur dari penghujung gelongsor tadi lalu mendarat di dalam lumpur. Kini bajuku sudah basah sepenuhnya. Bukan itu sahaja, aku berbau tengik. Aku mengelap mukaku bersih daripada lumpur. Aku berdiri lalu mangambil beberapa langkah ke arah gelongsor itu tetapi aku tergelincir disebabkan oleh lumpur yang sudah berselepat pada kasutku. Aku merangkak ke arah lubang tadi. Aku memberi arahan kepada kawan-kawan yang lain di atas sana.
"Baik. Seorang masuk dahulu. Pastikan kaki rapat sepanjang perjalanan. Tunggu seminit baru orang seterusnya. Jangan risau fasal pendaratannya. Semua akan selamat," aku mengarah. Selepas apa yang aku perkatakan, aku terdengar suara seseorang sedang melolong kegembiraan. Mungkin kerana lubang ini seperti sebuah gelongsor air. Memang pun begitu. Selepas kira-kira seminit, aku berkata, "OK. Orang seterusnya boleh turun," pesananku bergema ke dalam lubang itu. "OK," suara Alif membalas.
Tiba-tiba air mula mengalir daripada lubang itu. Ia semakin deras. Ah, mesti seseorang sudah hampir! Aku cuba untuk melarikan diri daripada dilanggar oleh si dia yang semakin dekat. Aku gagal kerana lumpurnya terlalu licin. Akibatnya, aku diterajang oleh Halizzah. Aku dan Halizzah terhumban ke belakang. Sekali lagi aku bergelumang dengan lumpur. Rahang aku terasa sakit sedikit. Dahsyat betul aku diterajang.
"Hahaha! Perh... Mendarat dalam lumpur," Halizzah mencepuk lumpur yang mengelilinginya. Umpama budak tiga tahun pertama kali masuk kolam renang. Aduhai, Halizzah, Halizzah. Aku hanya menggeleng-geleng.
"Kenapa kau seronok sangat? Macam tak pernah main dengan lumpur pula," aku berkata kepada Halizzah. Aku mengurut rahangku. Bercalar gara-gara Halizzah. Kasut apalah yang dia gunakan? Jangan berdarah sudah.
"YEAH!" suara Hanis jelas kedengaran apabila dia meluncur keluar daripada lubang itu. Dia turut menemani Halizzah yang masih seronok bermain di dalam lumpur. Aku terduduk di suatu bahagian yang agak jauh daripada lumpur dan lubang itu. Dari situ, aku tersenyum melihat gelagat tak matang Halizzah dan Hanis.
"Hanis, yang lain faham tak arahan aku?" aku memberhentikan kegembiraan Hanis dan Halizzah sebentar.
"Alif faham. Dia dah aturkan semuanya. Bertenanglah, Mira. Otak Alifkan dah cair," Hanis mengenyit matanya sambil jari telunjuknya mengetuk pelipisnya dengan lembut. Tanda pemikiran. Aku memberi anggukan lalu senyumku terbentuk kembali pada bibirku. S
emuanya akan berjalan lancar. Aku percaya kata-kata Salina. Jadi aku percaya terhadap kebolehan Alif.
Aku menarik tanganku lalu meletakkannya di belakang kepalaku. Siling dipandang seolah-olah ia langit yang terbentang luas. Ia seperti begitu. Siling umpama telah bertukar warna menjadi biru gelap. Dipenuhi dengan bintang-bintang pelbagai saiz dan jenis. Dan aku terbaring pada lereng bukit Taman Kita. Angin meniup sepoi-sepoi bahasa menampar mukaku dengan kelembutannya. Suara gelak tawa Halizzah dan Hanis jelas terdengar di telingaku. Aku menutup mataku. Menikmati detik aneh tetapi menyenangkan ini. Amat menyenangkan... Tenteram hatiku jua.... Aku terbawa ke alam lena kerana kepenatan yang menguasai diriku.
Selepas 20 minit aku dihanyutkan ke alam tidur, aku seperti terasa tanah pada lidahku. Aku cuba untuk tidak mengendahkannya tetapi satu gabungan suara yang langsung tidak merdu telah membingitkan telingaku.
"Ah! Tak payahlah kacau aku," aku menghayun-hayunkan tanganku di udara. Dengan harapan ia boleh menghalau penyibuk yang mengacau aku tidur. Ia agak berkesan. Tetapi itu hanya satu sangkaan.
"Satu... Dua... SIMBAH!" tiba-tiba lumpur telah membasahi aku dari hujung rambut hingga hujung kaki. Aku terus terjaga dari tidur dengan hanya satu perkara di otakku. "SIAPA PUNYA IDEA NI!?" aku mengelap mataku daripada lumpur. "Hahaha! Aku punya! Kenapa?" ketawa Aliah terbahak-bahak. Aku berpaling ke arah Aliah.
Bagus. Dia hanya sekaki dari aku. Aku boleh sepak kakinya dan biar dia terhumban dalam lumpur. Hahaha... Senyuman sinis mengikuti idea yang agak kejamku.
"Oh, tak ada apa-apa. Cuma..." aku menendang kaki Aliah yang menyebabkan dia hilang keseimbangan lalu jatuh ke dalam lumpur. Aku mencekau kedua belah tangan Aliah.
Hahaha! Kau tak boleh lari sekarang. Aku merendam kepala Aliah ke dalam lumpur untuk beberapa saat sahaja. Muka Aliah diselaputi dengan lumpur.
"Cantiklah
facial mask kau. Atau kau guna jenama bedak baru. Memang sesuai dengan kau, Budak Bedak!" aku melihat air muka Aliah yang sudah berubah. Dia mahu balas dendam ni. Memang benar apa yang aku sangkakan. Aliah berlari lalu menolak aku kembali ke dalam lopak. Kami berguling-guling di dalam lumpur. Aku pasti. Mesti lagak kami ni menggelikan hati. Semua ahli KAAfamily ketawa. Tetapi ia seperti kurang seorang ahli. Satu gelakan yang memang lain daripada lain. Gelakan... Gelakan... Gelakan Ain!
"Kejap! Aliah berhenti," Aliah mencalit mukaku dengan lumpur. "Berhentilah," aku menangkap tangan kanan Aliah sebelum ia sempat dikotori dengan lumpur kembali. Aku memandang Aliah dengan muka serius.
"Ain di mana?" aku berpaling ke pelbagai arah dengan harapan menjumpai jasad Ain yang hilang secara tiba-tiba.
"Kita di sini, Mira," Ain memandang dinding kosong. Aku tidak pasti mengapa. Aku berdiri lalu bergerak ke arah Ain.Aku memandang dinding yang Ain tenungkan sejak tadi lagi. "Itu pintu Perpustakaan Edium!" kata Salina, gembira. Aku masih keliru. Apa sebenarnya yang aku berdepan ni?
Ain menghala cahayanya pada kegelapan itu. Teukir pada sejenis logam perkataan 'EDIUM'. Pintunya diperbuat daripada kayu balak. Pintunya besar dan aku dapat kesankan yang pintu itu diukir daripada satu potongan kayu. Di mana setiap hujungnya merupakan daripada pokok yang sama. Ia berdiameter lebih kurang 20 kaki. Simbol-simbol dan seni yang terpahat pada pintu itu sungguh halus dan cantik.
"Ya, memang sah," Wanie berdiri selepas mengesan Perpustakaan Edium buat kali terakhir. "Inilah Perpustakaan Edium yang kita carikan," Wanie mengambil langkah-langkahnya perlahan-lahan agar dia tidak tergelincir lalu jatuh ke dalam lumpur.
Apabila Wanie berdiri secara selari dengan pintu lawang Perpustakaan Edium, dia memberikan satu tolakan dengan daya yang kecil pada kedua-dua belah pintu itu. Tiada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba suara seseorang bergema pada dinding.
"Sila jawab pantun ini,
Mungkin kamu terlupa,
Tentang tangan dan kaki,
Bunyi lain, ejaan serupa."
Aku terkial-kial. Menoleh ke kiri dan kanan bagi mencari punca suara itu tetapi gagal.
Tentang tangan dan kaki. Suara itu masih bergema di dalam otak aku.
Bunyi lain, ejaan serupa. Apa maksud teka-teki ni? Aku memandang Hanis dan Alif dengan harapan mereka mempunyai jawapan.
"Anda hanya diberi tiga percubaan," kata suara itu. Apa yang telah dikatakan menambah lagi tekanan pada diri kami.
"Terajang?" jawab Alif.
"Maaf. Salah. Anda masih ada dua percubaan," tekanan telah bertambah ke atas diri kami. Hanis memandang Alif dengan mata yang bulat. Petanda supaya jangan jerit sahaja jawapan sesuka hati.
Hanis sambung berfikir. Kemudian, dia mengutuskan jawapan. "Hentakan?".
"Maaf. Anda hanya tinggal satu peluang sahaja lagi," aku terkejut dengan jawapan salah Hanis. Bagaimana jika begini? Yang cerdik-cerdik pun tidak boleh menjawab.
"Sepak!" Haikal menjerit jawapannya.
"Haikal! Janganlah!" Hanis memarahi Haikal kerana tindakan spontannya.
"Buat apa kau nak marah aku? Betullah. Kalau tangan, sepak. Kalau kaki, sepak. Kan dia cakap bunyi lain tapi ejaan serupa. Sepak dan sepak bunyi lain tapi ejaan sama," panjang lebar Haikal menjelaskan sebab dia memilih jawapan itu. Kami terkejut. Betul apa yang Haikal katakan. Sekarang hanya tinggal apa yang akan terjadi. Pintu dibuka atau perkara lain.
Tiba-tiba, kami terdengar bunyi klik membuka kunci. Pintu lawang Perpustakaan Edium perlahan-lahan terbuka. Angin lembut menghembus lalu terkena kepada setiap muka yang ada di ruang itu. Tudung aku terangkat sedikit ditiup oleh angin lembut itu. Angin lembut itu membawa bau buku-buku lama yang terperap lama di dalam perpustakaan itu. Menunggu kami bagi memberi ilmu tentang cahaya Mei Gui ini.